PRN: Calon Muda tanding DUN Bandar - Utusan Malaysia

PRN: Calon Muda tanding DUN Bandar

LUQMAN LONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Luqman Long yakin penampilan pertamanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu akan membawa perubahan dalam arena politik di negeri itu.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya serta Ketua Penerangan Muda berkata, kehadirannya sebagai calon di kerusi DUN Bandar juga adalah satu isyarat bahawa pengundi negeri itu tidak akan taksub dengan mana-mana parti politik.

Graduan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu menegaskan, walaupun tampil sebagai calon ‘under dog’ dalam PRN kali ini, beliau tetap komited mahu mendekati pengundi dan membawa hasrat mereka untuk didengari pucuk pimpinan negara.

“Memang dalam rekod pilihan raya di Terengganu selama ini, hanya Pas dan UMNO sahaja yang mendominasi dan silih berganti. 

“Namun, saya percaya semua parti dan calon ada peluang untuk bertanding dalam PRN kali ini dan tiada mana-mana parti yang boleh memandang rendah kepada kemampuan rakyat Terengganu untuk memilih calon yang betul-betul berkhidmat untuk rakyat. 

“Saya percaya kalau calon dan parti mengangkat isu dan suara rakyat Terengganu, pengundi akan dengar dan pilih mereka. Sasaran saya adalah untuk mendengar suara mereka dan membentuk satu tawaran yang terbaik untuk DUN Bandar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Anak bongsu dari lima adik-beradik itu berkata, dia akan memanfaatkan semua pengalamannya yang ada sepanjang mengasaskan Muda untuk memastikan kemenangan sulung di Terengganu pada PRN kali ini.

Menurutnya, pengalaman mengetuai kempen untuk Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hingga berjaya memenangi kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu akan dijadikan asas untuk menawan kerusi DUN Bandar.

“Kempen kita akan meliputi semua golongan tidak hanya terbatas kepada pengundi muda sahaja. Kaedah raih undi tradisional dan moden akan digabungkan untuk tujuan itu.

“Paling penting aspirasi anak muda akan dikongsikan dan disuarakan melalui media sosial saya seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube atau Twitter untuk memudahkan mereka faham dan terus menyokong Muda sepanjang kempen PRN ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya