PRN: Calon DAP Pulau Pinang dimuktamadkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat DAP - Utusan Malaysia

PRN: Calon DAP Pulau Pinang dimuktamadkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat DAP

KERATAN akhbar Utusan Malaysia hari ini mengenai laporan sokongan oleh UMNO Cawangan Perai, Pulau Pinang terhadap pencalonan semula Dr. P. Ramasamy untuk bertanding kerusi DUN Perai pada PRN Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Keputusan berkaitan calon-calon yang akan mewakili DAP Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat DAP.

Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow, senarai calon-calon yang akan mewakili DAP Pulau Pinang dalam PRN juga telah diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

”Saya ingin umumkan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP Pulau Pinang telah bermesyuarat dan sudah mengemukakan senarai cadangan kepada Setiausaha Agung DAP.

“Jawatankuasa Pemilihan Pusat akan membuat keputusan muktamad terhadap senarai yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Mentorconnet 2023 di Penang Skill Development Centre (PSDC), di sini hari ini.

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) ketika melancarkan program Mentorconnet 2023 di Penang Skill Development Centre (PSDC), di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

Sebelum ini, terdapat desas-desus mengenai nama beberapa Exco dari DAP antaranya Dr. P. Ramasamy yang dikatakan bakal digugurkan daripada bertanding pada PRN akan datang

Sehubungan itu, sebanyak 30 persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) keagamaan dan keusahawanan kelmarin, menyatakan sokongan terhadap Ramasamy, malah UMNO Cawangan Perai turut menyatakan pendirian tidak ‘berbelah bahagi’ mereka terhadap Ramasamy untuk terus menerajui kerusi DUN Perai.

Menurut Kon Yeow, sebelum ini Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP Pulau Pinang telah berjumpa dengan semua penyandang dan mereka telah berkongsi hasrat masing-masing.

Malah, katanya, beliau juga telah menyampaikan hasrat dan jangkaan daripada Jawatankuasa Pemilihan Pusat DAP kepada semua penyandang berkenaan.

”Jawatankuasa Pemilihan negeri telah mengambil kira pandangan-pandangan dan siapkan senarai (calon) berdasarkan perkara ini.

”Kita cuma menunggu beberapa hari lagi untuk tahu segala-galanya (senarai calon DAP Pulau Pinang),” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, setiap parti komponen PH boleh mengumumkan senarai calon masing-masing selepas semua senarai calon diumumkan.

”Kita akan ada satu majlis untuk media tempatan, mungkin ada muka baharu yang mungkin kita tidak kenal lagi. Ada beberapa peratus calon baharu yang akan diketengahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya