SEBERANG PERAI: Calon DAP Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, K. Kumaran mahu memastikan kempen yang berlangsung selama dua minggu akan datangvberjalan dengan tenang tanpa sebarang provokasi.
Enggan mengulas berhubung kritikan negatif yang dilemparkan terhadapnya, ahli perniagaan itu berharap pengundi dapat memberi peluang dan menilai kemampuannya yang mahu membawa perubahan di DUN Bagan Dalam.
Katanya, beliau tidak mahu mengeruhkan keadaan, sebaliknya ingin terus kekal profesional bagi memastikan kempen berjalan secara sihat tanpa perlu menjatuhkan calon lain.
“Lebih empat tahun saya berkhidmat di pejabat Parlimen Bagan, malah saya tahu apa isu yang perlu diatasi di sini kerana sudah bekerja rapat dengan penduduk setempat.
“Saya tidak mahu berjanji apa yang tidak boleh dikotakan tapi saya boleh beri jaminan, manifesto yang akan dibentangkan petang ini akan memanfaatkan pengundi.
“Apa yang boleh saya kongsikan, saya ialah seorang ahli perniagaan, lepasan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) selain bakal menamatkan pengajian dalam ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) tahun depan dan saya juga pandu kereta sendiri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi DUN Bagan Dalam PRN-15 di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini hari ini.
Kumaran berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung khabar angin yang melabelkannya sebagai ‘pemandu dan pemegang beg diktator’ parti itu.
Selain Kumaran, kerusi DUN Bagan Dalam bakal ditentang tiga lagi calon termasuk penyandangnya, M. Satees yang keluar daripada DAP dan bertanding sebagai calon Bebas serta K. Jayaraman (DHPP-PN) dan S. Rajasakanan (PFP). – UTUSAN