BUKIT MERTAJAM: UMNO Pulau Pinang berhasrat untuk terus ‘membawa’ suara rakyat negeri ini ke peringkat lebih tinggi sekiranya berjaya memenangi kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, para pengundi khususnya di keenam-enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi oleh UMNO negeri diminta lebih rasional ketika mengundi dan memberi peluang kepada calon parti itu untuk berkhidmat.
“Kita ada (calon) muka lama dan muka baharu, umur pula dalam lingkungan 35 hingga 53 tahun dengan latar belakang yang pelbagai.
“Jadi, saya harap rakyat Pulau Pinang dapat bagi peluang kepada kami untuk membuktikan kemampuan pada PRN ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican antara calon muka baharu yang berpengalaman dan dipertaruhkan untuk bertanding pada PRN ini iaitu bagi kerusi DUN Bertam.
Selain Reezal, UMNO Pulau Pinang turut meletakkan Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr. Shaikh Hussein Mydin untuk bertanding di DUN Sungai Dua yang sebelum ini disandang oleh parti itu manakala calon wanita tunggal, Norhafizah Othman kekal bertanding di DUN yang dimenanginya sebelum ini iaitu Permatang Berangan.
Tiga lagi calon ialah Ahmad Zaki Shah Shah Headan yang akan bertanding di DUN Teluk Bahang, Mohd. Naim Salleh (DUN Penaga) serta Rashidi Zinol di DUN Sungai Acheh.
Dalam pada itu, Musa berkata, meskipun hanya diberikan enam kerusi berbanding lapan kerusi yang diminta sebelum ini, UMNO Pulau Pinang tidak kecewa dan akan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pengundi.
“Kita minta lapan (kerusi) tapi depa (mereka) bagi enam sahaja termasuk dua kerusi yang kita sandang (DUN Sungai Dua dan DUN Permatang Perangan). Tak apalah.
“Yang penting, kita akan berusaha menangkan kerusi-kerusi ini selain membantu kempen PH (Pakatan Harapan) di kerusi-kerusi lain,” ujar beliau. – UTUSAN