PRN: Bekas ADUN DAP tanding untuk lawan sel ‘kanser’ dalam DAP - Utusan Malaysia

PRN: Bekas ADUN DAP tanding untuk lawan sel ‘kanser’ dalam DAP

(DARI kiri) K. Kumaran; K. Jayaraman, M. Satees dan S. Rajasakanan yang bakal bersaing merebut kerusi DUN Bagan Dalam pada PRN-15 di Pulau Pinang. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEBERANG PERAI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, M. Satees mendakwa tindakannya bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) menjadi langkah pertama untuk membanteras ‘sel kanser’ yang membarah dalam DAP Pulau Pinang.

Mengakui masih menyayangi parti itu, Satees berkata, impiannya hanyalah untuk melawan ‘diktator’ yang dikhuatiri akan merosakkan keharmonian parti yang diterajui Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Ingin saya tegaskan saya bertanding sebagai calon bebas demi DAP, malah saya berjanji tidak akan sesekali bekerjasama dengan PN sekiranya menang dalam PRN kali ini.

“Sebelum ke sini, ada tiga parti politik tawarkan saya untuk bertanding di bawah logo mereka, namun saya tolak, kerana saya tidak mahu masuk parti lain dan menentang DAP.

“Hasrat saya adalah untuk menjadi calon Bebas yang membawa suara sendiri dalam menentang diktator DAP yang dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan sekiranya tidak dilawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi kerusi DUN Bagan Dalam di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengundi setempat tahu akan kebolehannya sepanjang berkhidmat sebagai ADUN pada penggal lalu.

“Apa yang saya rasai hari ini sama seperti yang dialami pada 2008 tatkala membantu DAP yang diwakili Dr. P. Ramasamy melawan Pemangku Presiden Gerakan, Koh Tsu Koon di Parlimen Batu Kawan semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

“Pada masa itu, DAP tidak mempunyai sumber yang kuat, namun tetap boleh menang.

“Saya sendiri berjiwa ‘fighter’ (melawan) dan saya yakin pengundi dapat menilai yang saya berjuang demi mereka, parti dan keluarga,” katanya.

DUN Bagan Dalam menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon Bebas, DAP, Perikatan Nasional (PN) dan Penang Front Party (PFP).

Selain Satees, tiga lagi calon ialah K. Kumaran (DAP); K.Jayaraman (DHPP-PN) dan S. Rajasakanan (PFP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya