PRN: Bekas ADUN DAP keluar parti, tanding calon Bebas - Utusan Malaysia

PRN: Bekas ADUN DAP keluar parti, tanding calon Bebas

M. SATEES pada sidang akhbar mengumunkan keluar DAP dan akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRN kali ini di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees mengumumkan keluar daripada DAP dan akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di kerusi yang disandangnya itu, 12 Ogos ini.

Satees berkata, beliau telah menghantar surat keluar DAP kepada Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke pagi tadi dan menyifatkannya keputusan paling sukar pernah diambilnya sejak menyertai parti itu kira-kira 15 tahun lalu.

Walaupun meninggalkan DAP, Satees berkata, beliau akan terus menyokong kepimpinan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Mungkin ada yang kata saya letak jawatan (keluar dari DAP) sebab kecewa tak dapat pencalonan (untuk kerusi DUN Bagan Dalam) dan ramai pihak termasuk kawan rapat serta mentor saya, Dr. P. Ramasamy (bekas ADUN Perai) minta saya ‘consider’ (pertimbang) keputusan ini (keluar parti).

“Jika saya terus berada dalam parti, tangan saya seperti akan terus diikat dan saya tidak ada kebebasan untuk bercakap. Tapi, ini juga tidak bermakna saya bencikan DAP.

“Saya bukan mahu melawan parti tetapi (melawan) ‘maharaja’ (dalam DAP) yang ‘memperlakukan’ Pulau Pinang ini seperti milik bapanya. Maka, sebab itu jugalah saya pilih tema ‘Penang Kita Punya’ untuk kempen saya nanti,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Satees antara tujuh ADUN DAP Pulau Pinang yang yang digugurkan daripada bertanding pada PRN kali ini.

Terdahulu, dalam sidang akhbar berasingan kelmarin, beliau mendedahkan mengenai seorang pemimpin DAP yang didakwanya ‘maharaja’ kerana terlibat dalam menentukan serta menyusun atur calon parti itu yang akan bertanding nanti.

Dalam pada itu, Satees berkata, kalah atau menang sebagai calon Bebas pada PRN nanti bukan menjadi persoalan kerana beliau bertanding untuk memberi mesej kepada penyokong serta pengundi agar menolak kepimpinan ‘maharaja’ berkenaan.

Malah, beliau turut mendakwa ‘maharaja’ berkenaan mempunyai kuasa untuk membentuk Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu mengikut ‘acuannya’ jika memenangi pilihan raya terbabit.

“Saya tahu kawan-kawan saya (dalam DAP) tidak boleh menyatakan sokongan secara terbuka, tapi tetap bersetuju dengan saya (untuk menentang ‘maharaja’ dalam DAP).

“Sebenarnya perkara ini umpama kita sedang memerangi satu sel kanser. Kadang-kadang kita perlukan pembedahan dari luar untuk membunuh ‘sel’ tersebut,” katanya.

Satees turut menasihati penyokong serta ahli DAP yang sependapat dengannya supaya tidak mengambil langkah keluar parti kerana tindakan itu boleh mengukuhkan serta menguatkan pengaruh ‘maharaja’ tersebut.

“Ini antara saya dengan dia. Yang lain boleh kekal dalam parti untuk terus menyokong Kon Yeow pada pemilihan parti Mac tahun depan,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya