SHAH ALAM: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dicadangkan untuk kekal sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Perbincangan antara Presiden Pakatan Harapan (PH) dan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menilai prestasi dan kelangsungan kerja serta rekod prestasi beliau untuk dikekalkan di jawatan tersebut selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Perbincangan itu menelan masa agak panjang dengan rakan-rakan kita yang lain tetapi selepas menyampaikan pandangan kita kepada Ahmad Zahid, saya menekankan untuk kelangsungan kerja, kesinambungan dan rekod prestasi Aminuddin itu memuaskan wajar kita pertahankan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Aminuddin yang saya kenal lama terutama ketika menjadi Ahli Parlimen Port Dickson, itu (beliau) lebih banyak kerja dan usahanya dalam program-program merakyatkan, maknanya tidak ada ruang sehingga orang menyatakan menteri besar ini sukar ditemui ataupun disantuni,” katanya ketika berucap pada Pengumuman Calon PKR, hari ini.
Aminuddin yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat dicalonkan semula untuk kawasan tersebut pada PRN Negeri Sembilan supaya hasrat tersebut dapat ditunaikan apabila gabungan PH-BN dapat membentuk kerajaan negeri.
Terdahulu Anwar yang juga Perdana Menteri mencadangkan Datuk Seri Amirudin Shari dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua selepas menilai prestasi dan kejayaan negeri ini di bawah pentadbirannya sejak 2018.
Selain itu, beliau juga memaklumkan PKR menyambut baik keputusan DAP untuk mengekalkan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang apabila gabungan mereka mempertahankan negeri itu pada PRN nanti.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi PH menyatakan PKR mempunyai barisan kepimpinan yang membanggakan disebabkan kekuatannya yang tidak terbeban kepada presiden, timbalan dan naib-naib presiden.
“Kita ada barisan pimpinan yang membanggakan kita, harus faham kekuatan PKR bukan pada presidennya, timbalannya, naib-naib presidennya, tetapi juga jemaah pimpinannya seperti kita saksikan dalam kerajaan negeri.
“Memang tentunya saya, Rafizi dan pimpinan lain sentiasa mengambil sikap agak tegas, menegur dengan keras kerana kita mengharapkan satu prestasi yang lebih baik daripada yang kita harapkan. – UTUSAN