SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka memuktamadkan senarai calon yang bakal bertanding di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk Selangor pada minggu depan.
Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim berkata, pihaknya di peringkat negeri sudah menghantar tiga nama calon bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada pucuk pimpinan tertinggi.
“Kita selesai menghantar nama calon untuk dinilai sebagai calon PRN di Selangor.
“Saya jangka calon yang bakal bertanding bakal dimuktamadkan minggu depan termasuk di peringkat nasional,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Persiaran Mokhtar Dahari, hari ini.
Jelas beliau, calon partinya bakal ditampilkan itu semestinya mampu memberi kemenangan kepada parti berkenaan.
“Kriteria calon terdiri dalam kalangan muka lama, muka baharu dan calon berpengalaman. Malah, kita tetap mengekalkan kuota 30 peratus calon terdiri dalam kalangan wanita,” ujarnya.
Tambah Izham, Amanah dijangka mengekalkan lapan kerusi termasuk dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Mungkin ada tambahan kerusi namun itu terpulang perbincangan di peringkat Majlis Presiden PH (Pakatan Harapan)
“Tumpuan turut diberikan di beberapa kerusi ‘kelabu’ bagi memastikan calon kita mampu memperoleh kemenangan,” katanya.
Katanya lagi, Amanah tidak boleh kurang lapan kerusi untuk dimenangi dan wajar mempertahankan semua kerusi ditandingi sekaligus mempertahan dan mengekalkan kerajaan Perpaduan di Selangor. – UTUSAN