BALIK PULAU: Calon UMNO bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan, 34, merupakan antara muka baharu yang diketengahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ahmad Zaki yang merupakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri serta Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau telah memulakan gerak kerja bertemu para pengundi di DUN Telok Bahang sejurus selepas pengumuman calon dibuat pucuk pimpinan.
Beliau yang juga peguam berkata, status sebagai calon anak tempatan dan anak jati Balik Pulau memberikan kelebihan kepadanya untuk lebih dekat dengan para pengundi terutama pengundi muda di DUN Telok Bahang.
“Saya dibesarkan di Balik Pulau dan lebih mudah untuk saya memahami serta mengetahui setiap kehendak, potensi dan masalah yang berlaku di sekitar DUN Telok Bahang.
”Tidak seperti calon-calon dari luar kawasan, saya dapati mereka tidak lagi berkhidmat selepas kalah dalam pilihan raya, saya anak tempatan, saya tinggal di sini jadi saya sesekali tidak akan tinggalkan pengundi walau apa juga berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zaki, UMNO mempunyai peluang untuk merampas semula kerusi DUN Telok Bahang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menang kerusi DUN berkenaan pada pilihan raya umum lalu.
”Pada pilihan raya umum lalu, wakil rakyat Bersatu menang kerusi DUN Telok Bahang dengan lebihan undi sebanyak 425 undi sahaja.
”Jadi saya berharap pengundi akan memberikan peluang kepada UMNO pada PRN kali ini agar lebih banyak kemajuan dibawa kepada penduduk di DUN Telok Bahang,” katanya.
Tambahnya, beliau juga berhasrat meneruskan projek perumahan mampu milik yang pernah diusahakan oleh bapanya yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Shah sebelum ini sekiranya menang PRN.
”Pada 2013, bapa saya yang ketika itu merupakan ADUN Telok Bahang dan Kerajaan Pusat masih di bawah Barisan Nasional (BN) berjaya mendapatkan 200 ekar tanah bagi pembangunan rumah mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
”Namun, kerana perubahan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, projek berkenaan tidak dapat diteruskan, jadi penduduk Telok Bahang ada peluang cerah untuk mendapatkan wakil rakyat yang selari dengan kerajaan negeri dan Pusat serta menghidupkan semula projek perumahan mampu milik ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zaki Shah menafikan memperoleh peluang sebagai calon UMNO di DUN Telok Bahang disebabkan pengaruh bapanya memandangkan beliau sendiri memperoleh jawatan-jawatan di dalam UMNO menerusi sesi pertandingan, bukannya secara lantikan.