PRN: Abdul Mohsein tekad jadi penghubung orang Melayu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PRN: Abdul Mohsein tekad jadi penghubung orang Melayu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang

ABDUL MOHSEIN Mohd. Shariff (kanan) ketika ditemui pemberita pada program minum petang bersama media di Telok Ayer Tawar, Butterworth, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWOTH: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar daripada Pakatan Harapan (PH), Abdul Mohsein Mohd. Shariff bertekad mahu menjadi penghubung yang menyatukan suara masyarakat khususnya orang Melayu dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Beliau yang merupakan Pengerusi Biro Keusahawanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tasek Gelugor berkata, keperluan itu bagi memastikan suara penduduk Melayu di negeri ini mampu didengari dalam konteks Visi Penang2030 yang disifatkannya tidak sampai secara menyeluruh.

“Kita (orang Melayu) mungkin dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang, tapi mungkin kiblat SPU (merujuk penduduk Melayu dalam daerah Seberang Perai Utara) ini tidak ‘berkiblatkan’ ke Pulau Pinang (kerajaan negeri).

“Jadi, saya kena jadi ‘jambatan’ (penghubung) itu, (dan) pendekatan yang saya nak bawakan nanti adalah berbeza supaya kepimpinan pentadbiran yang akan ditubuhkan ini boleh faham (hasrat yang ingin disampaikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap rakyatnya),” katanya kepada pada program minum petang bersama media di Telok Ayer Tawar, di sini semalam.

Abdul Mohsein yang juga calon muka baharu berkata, masyarakat Melayu di daerah SPU khususnya memerlukan sebuah figura yang mampu mengangkat suara mereka ke peringkat pentadbiran tertinggi supaya dapat menikmati manfaat yang ditawarkan kerajaan negeri dengan lebih menyeluruh.

“Jika dilihat sebelum ini kita ada figura Melayu seperti bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun bapa saya sendiri (Tan Sri Mohd Shariff Omar, bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor) yang dijadikan ikon.

“Rakyat di sini memerlukan satu figura untuk disandarkan yang saya rasa tiada buat masa ini.

“Bukan bermaksud saya mahu meletakkan diri sebagai ikon, namun melihatkan keperluan (mengangkat suara orang Melayu) itu perlu ada dan ini menjadi sebahagian daripada kerajaan yang kita boleh bawa lebih banyak limpahan (merujuk kepada Visi Penang2030) kepada masyarakat di sini,” katanya.

Tambahnya, orang Melayu Pulau Pinang boleh dikatakan sebagai golongan minoriti dan memerlukan satu suara untuk berada di pihak kerajaan tanpa perlu membangkitkan sentimen emosi mahupun perkauman yang dilihat membawa kepada kerugian pada kaum itu sendiri.

“Jika dilihat pada keputusan pilihan raya umum lepas, kita di sini kalah, tapi saya yakin orang-orang di Pulau Pinang ini melihat sebagai minoriti, kita kena ada satu kuasa di pihak kerajaan.

“Jika kita rasa kita nak sentiasa bermain tentang sentimen emosi, perkauman dan sebagainya kita takkan ke mana-mana. Contohnya kita lihat di Kedah sekalipun sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Kerajaan Perpaduan kedua-duanya akan lantik seorang Menteri Besar dalam kalangan orang Melayu.

“Tapi di sini (Pulau Pinang) kemungkinan itu tak mungkin akan berlaku, jadi kita kena terima hakikat itu. Jadi, untuk berada dalam kerajaan itu bagi saya adalah keutamaan kepada pengundi itu sendiri daripada melihat pada sentimen emosi, perkauman dan sebagainya,” katanya.

DUN Telok Ayer Tawar menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Abdul Mohsein dengan Ketua Bersatu Bahagian Tasek Gelugor, Azmi Alang dengan jumlah pengundi seramai 24,784 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya