KEPALA BATAE: Seramai 6,735 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) PRN di enam negeri yang akan berlangsung 12 Ogos ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, anggota Rela bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan proses penamaan calon dan hari mengundi berjalan lancar.
“Sudah semestinya Rela akan bersama dengan anggota keselamatan lain terutamanya polis bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
“Saya dimaklumkan (Rela) akan bersama-sama dengan polis dan akan mengikut apa yang diarahkan dan dikehendaki oleh anggota keselamatan lain.
“Kita di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), maka akan terus bekerjasama bagi menempatkan anggota yang akan melaksanakan tugasan berkaitan PRN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kesiapsiagaan Rela menjelang PRN yang bakal berlangsung di enam negeri termasuk di Pulau Pinang.
Terdahulu, Shamsul Anuar menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Anggota Rela Negeri Pulau Pinang di Dewan Millenium di sini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan komited untuk memperkasakan sekali gus memperkukuhkan peranan Rela sebagai jabatan yang terus kekal berkhidmat untuk masyarakat.
“Selain itu, kita juga akan sentiasa memberi keutamaan kepada aspek pembangunan sumber manusia dan kebajikan anggota,” katanya. – UTUSAN