PRN: 49,660 pegawai, anggota ATM undi awal - Utusan Malaysia

PRN: 49,660 pegawai, anggota ATM undi awal

ADLY Zahari (hadapan, lima dari kanan) bergambar bersama veteran ATM di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seramai 49,660 pegawai dan anggota  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta  pasangan akan mengundi pada hari pengundian awal pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 8 Ogos depan. 

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sebanyak 54 pusat mengundi awal  ATM diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di negeri-negeri terlibat 

“Bagi Tentera Darat Malaysia seramai 38,926 akan terlibat mengundi awal manakala Tentera Udara Diraja Malaysia sejumlah 9,725 orang dan Tentera Laut Diraja Malaysia berjumlah 1,009 orang. 

“Kita harapkan proses pengundian awal itu nanti berjalan lancar bagi membolehkan setiap pegawai dan anggota tunaikan tanggungjawab serta hak sebagai pengundi. 

“Saya yakin undi awal ini dapat mendokong usaha Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini kerana kita tahu teras politik amat penting. Undian awal ini akan berpihak kepada kerajaan perpaduan kerana pengundi tahu matlamat kita untuk memajukan negara dan rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Peduli Veteran Peringkat Negeri Terengganu di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini hari ini. 

SPR menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi PRN diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos ini. 

Sementara itu, Adly memaklumkan lebih 80 peratus daripada 200,000 veteran ATM menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya kedua mereka membabitkan pelbagai bidang termasuk pertanian, perkhidmatan dan pelancongan.

Katanya, pihaknya masih lagi mengumpul data bagi veteran yang membabitkan diri dalam bidang berkenaan  untuk menilai sejauh mana tahap perniagaan diusahakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya