IPOH: Sebuah premis memproses produk pencuci pinggan berjenama yang disyaki tiruan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.
Serbuan di Kawasan Perindustrian Perpaduan pada pukul 12.30 tengah hari itu membawa kepada rampasan 8,419 botol berisi cecair pencuci pinggan berjenama tiruan, 6,000 liter sabun atau cecair di dalam tangki, 5,200 botol kosong dan kotak disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN negeri, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, serbuan itu dibuat hasil risikan selama seminggu yang dijalankan di premis tersebut.
“Kilang itu didapati beroperasi sejak Oktober tahun lalu dan berupaya membuat pengeluaran produk dengan anggaran 1,000 botol sehari dan dipasarkan kepada peruncit di sekitar negeri dengan harga RM3 sebotol.
“Dalam serbuan itu, kita telah merampas beberapa barang kes dan kesemua barangan tersebut disita untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM41,993,” katanya di sini.
Menurut beliau, ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki berusia 19 tahun dan seorang wanita berusia 36 tahun dipercayai pekerja berada di dalam premis dan sedang memproses produk tiruan berkenaan.
Katanya, kedua-dua individu itu ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 di bawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya. – UTUSAN