PUTRAJAYA: Biarpun nampak remeh, tetapi amalan membersihkan meja selepas makan boleh memupuk budaya sopan santun selain mengelak masalah bawaan penyakit akibat kotoran yang tertinggal.
Justeru, Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini melancarkan Kempen Bersihkan Meja Selepas Makan di seluruh restoran-restoran di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini.
Majlis pelancaran disempunakan Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud bertempat di Kafeteria Rampai Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini pagi tadi.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, Norzita Abdul Razak ketika ditemui berkata, kempen itu melibatkan 480 buah premis makanan di Putrajaya termasuk pengusaha restoran, kedai makan, kantin sekolah dan juga kafeteria pejabat.
Beliau berkata, kempen itu penting bagi menjadikan Putrajaya sebuah bandar yang bersih di setiap tempat selain membudayakan amalan membersihkan sendiri meja selepas makan di restoran-restoran seluruh Putrajaya.
“Kerjasama dan komitmen daripada pemilik premis diperlukan dalam memastikan penyediaan tempat atau perkakasan bagi memudahkan pengunjung mengemas sendiri meja makan mereka,” katanya.
Katanya, pelancaran kempen ini diyakini dapat membuahkan hasil sekali gus setanding dengan negara-negara maju, selain menyahut seruan kempen Putrajaya Bersih Setiap Tempat (BeST).
Norzita berkata, pihaknya berharap inisiatif dan nilai-nilai murni ini dapat diterapkan dalam kalangan komuniti, pengunjung dan warga Putrajaya.
Sementara itu, katanya, bilangan premis makanan di Putrajaya meningkat sejak kebelakangan ini, susulan pembukaan lokasi perniagaan baharu dan faktor pengembangan perniagaan semasa di Wilayah Persekutuan ini.
Menurutnya, sebanyak 480 premis makanan beroperasi di Putrajaya pada tahun ini, berbanding hanya 173 pada tahun 2007 (peningkatan 177 peratus).
“Seiring dengan peningkatan itu, wajarlah pelbagai pendekatan diambil oleh PPj bagi memastikan tahap premis makanan berada dalam keadaan yang bersih,” katanya. – UTUSAN