PONTIANAK: Sektor pelancongan di dua negara antara Indonesia dan Malaysia (Kalimantan Barat-Sarawak) akan terus diperhebatkan dengan cadangan pembinaan pos imigresen pihak berkuasa Indonesia di sempadan Telok Melano, Sarawak.
Gabenor Kalimantan Barat, Sutarmidji M.Hum mendedahkan selain menjadi sektor pelancongan di kawasan terbabit, ia mampu mengembangkan ekonomi pertanian dan perikanan.
“Kerajaan Indonesia akan membantu dari segi pembangunan infrastruktur supaya jalan raya ke kawasan berkenaan lancar dan pembangunan fasiliti penting (air, elektrik dan jaringan internet).
“Bagaimanapun, dari segi membangunkan aktiviti pelancongan di pantai tersebut, kita membuka peluang kepada pihak swasta di sepanjang kawasan Pantai Temajuk itu.
“Selain menjadi pelancongan, banyak juga potensi pasaran (ekonomi lain) seperti pertanian, dan perikanan, dan sudah tertentu Kalibar (Kalimantan Barat) ini jadi tempat kunjungan dari Sarawak khususnya,” ujarnya kepada media di pejabatnya baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) di pejabatnya baru-baru ini.
Justeru itu, cadangan pembinaan pos sempadan Indonesia telah pun dibincangkan bersama pihak berkuasa di Indoneisa, dan berharap dapat siap pada tahun 2024.
“Apa yang saya sudah tahu, sudah ada satu pos imigresen yang di telah Malaysia bina di Telok Melano. Justeru itu, saya minta pihak imigresen di Indonesia bina satu pos di kawasan tersebut juga.
“Imigresen kita berada tiga kilometer dari situ dan ia terlalu jauh dari sempadan Malaysia-Indonesia. Mak akita berharap pemindahan pos kawalan dapat direalisasikan selewat-lewatnya pada akhir tahun 2024 sekali gus melancarkan aktiviti lintas sempadan,” tambahnya. –UTUSAN