KEMAMAN: Polis menutup Pos Kawalan Tempat Kejadian di Balai Polis Air Putih bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di sini, yang dibuka sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pusat kawalan itu ditutup bermula pukul 5 petang ini berikutan tiada sebarang petunjuk baharu bagi mencari dua lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.
Bagaimanapun, menurutnya, operasi mencari dan menyelamat akan terus dijalankan oleh polis, bomba dan pelbagai agensi lain.
Katanya, SAR yang memasuki hari keempat hari ini juga ditangguhkan pukul 5 petang ini ekoran cuaca buruk dan disambung pagi esok.
“Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat dan ribut petir berlaku pukul 3.50 petang tadi sehingga pukul 7 malam ini,” katanya pada sidang akhbar, petang ini.
Selain itu, Hanyan memberitahu, mayat mangsa kelapan, Putri Alleya Maisara Karim, 16, yang ditemui pukul 3 petang semalam, akan diserahkan kepada keluarga pukul 7 malam ini untuk dikebumikan.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, pihaknya telah membuka dua pos kawalan hadapan di Jeti Awam Kampung Pasir Minal dan di Kampung Seberang Tayor bermula esok.
Menurutnya, operasi akan menumpukan kawasan sektor A iaitu di lokasi kejadian dan sektor C di Sungai Teladas hingga ke muara Sungai Kemaman.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang termasuk Muhammad Fikri yang merupakan bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.
Setakat pukul 6 petang ini, lapan mangsa telah ditemukan sejak hari Ahad lalu.
Lapan mangsa yang ditemukan ialah Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Sementara itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan semalam. – UTUSAN