MARAN: Madrasah Raudhah al-Muhibbin atau Pondok Pok Kob di Kampung Pantai, Chenor di sini akan membina surau baharu dua tingkat dari bahan binaan peninggalan dua rumah lama tradisional Melayu Pahang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mudir Pondok Pok Kob, Barkatullah Mohd. Bahari, 40, berkata, rumah lama yang diwakafkan waris pemiliknya itu mempunyai struktur bangunan masih kukuh dan kayu keras jenis cengal serta resak tidak dimakan anai-anai.
Jelasnya, rumah itu milik Bilal Bakar dari Kampung Pesagi dan Manja Adam dari Kampung Macang Gelap.
“Struktur bangunan dilerai dan akan diangkut ke tapak baharu di sebelah surau seorang wali Allah yang dikenali Imam Salam di Kampung Pantai sekitar abad ke-17 yang menjadi penyebar agama Islam di Pahang dan nusantara.
“Kayu yang digunakan pemilik asal dengan ukiran menarik lambang kesenian warisan Pahang masih kukuh walaupun berusia ratusan tahun ditinggalkan waris,” katanya di sini.
Barkatullah berkata, surau baru dua tingkat berasaskan kayu dan simen bernilai sekitar RM40,000 memerlukan sumbangan pelbagai pihak untuk dibina dalam tempoh terdekat ini.
Menurutnya, reka bentuk surau akan mengekalkan rumah asal sebagai penghargaan kepada pewakaf tetapi dibina dua tingkat berikutan banjir sering berlaku di kawasan itu.
Menurutnya, surau peninggalan Imam Salam yang berusia lebih 300 tahun itu tidak mampu menampung jumlah jemaah.
“Imam Salam seorang pendakwah Islam Nusantara terkenal sekitar 1700 hingga 1800 mengembangkan agama Islam menyusuri Sungai Pahang sampai di Chenor,” katanya.
Beliau berhasrat menjadikan Chenor kembali menjadi pusat dakwah dan perkembangan agama Islam di negara ini.
Jelasnya, setakat ini Pondok Pok Kob sudah dikenali bukan sahaja di Malaysia tetapi juga selatan Thailand, Singapura dan Indonesia hasil pelbagai program dakwah dilaksanakan.
Katanya, penubuhan Galeri Ulama Awla yang memaparkan khazanah Islam dan pahlawan Melayu Pahang yang disimpan di Pondok Pok Kob di Kampung Pantai, Chenor meningkatkan imej madrasah ini.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Tetuan Surau Kampung Pantai bernombor 06028010068535 atau hubungi Barkatullah 01114998463. – UTUSAN