ALOR SETAR: Polis Kedah sedang menjalankan siasatan terhadap kes merosakkan poster Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di papan iklan yang dipercayai berunsurkan khianat.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, setakat ini pihaknya menerima dua laporan membabitkan insiden terbabit di Kubang Pasu dan Kulim, semalam.
“Dalam suasana pilihan raya yang hampir ini ada laporan melibatkan poster papan iklan dirosakkan, saya melihat kes sebegini tidak berapa elok dalam suasana ini.
“Maka, kes disiasat mengikut Seksyen 423 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat. Siasatan sedang dilakukan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan di Tanjung Kapur, Jitra dekat Kubang Pasu semalam mendapati poster tersebut diconteng dengan cat merah.
Mengulas lanjut kata beliau, polis menyeru semua pihak agar mematuhi peraturan ditetapkan dan menjauhi perbuatan yang boleh mencetuskan provokasi terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
“Dalam politik jika kita nak buktikan siapa yang kuat, kita buktikan dalam kertas undi sahaja dan selepas selesai kita duduk bersama balik tetapi apabila kita ambil tindakan seperti conteng sana sini akan timbul suasana yang mengatakan ada elemen sabotaj.
“Sebagai Ketua Polis Kedah, saya ambil kesempatan untuk beritahu semua dalam suasana kita berpolitik ini dan pilihan raya akan datang jangan kita terlampau sangat bertindak dalam sesuatu perkara,” katanya.
Tambahnya, polis menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes melibatkan 3R yang menyentuh isu agama, raja dan kaum tanpa mengira parti politik atau ahli politik terlibat.
“Kes libatkan 3R memang ada dua tiga kes dalam siasatan kita. Seperti kes Syeikh Zainul Asri Mohd. Romli yang sudah kita siapkan kertas siasatan dan kini dalam tindakan. Kita tunggu tindakan susulan timbalan pendakwa raya dan jangan berspekulasi. Begitu juga kes melibatkan Lim Guan Eng yang turut dalam siasatan polis,” katanya. – UTUSAN