Polis tahan penganggur cuba seludup ganja dari negara jiran - Utusan Malaysia

Polis tahan penganggur cuba seludup ganja dari negara jiran

MOHD Shokri Abdullah (dua dari kanan) menunjukkan dua ketulan mampat disyaki ganja yang dirampas menerusi Ops Tapis Khas Semalaysia yang berlangsung selama tiga hari bermula 10-12 Julai lalu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Polis menahan seorang penganggur yang disyaki cuba menyeludup ketulan mampat dipercayai ganja dari negara jiran menerusi Ops Tapis Khas Semalaysia pada, semalam.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sebuah inap desa sekitar Kampung Kubang Tiga, di sini, pada pukul 2.45 petang.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisoner Mohd Shokri Abdullah berkata, menerusi risikan dilakukan pihaknya selama dua minggu telah berjaya membawa kepada penahanan suspek warga tempatan itu yang bertindak memberhentikan motosikal ditunggangnya berhampiran kawasan inap desa berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan dua bungkusan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja di bawah tempat duduk motosikal yang ditunggang suspek,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Padang Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, siasatan awal mendapati dadah seberat dua kilogram itu dipercayai cuba diseludup dari negara jiran dengan menggunakan laluan tikus bagi menggelakkan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Menurut beliau, suspek juga merupakan orang yang dikehendaki dan sedang dikesan polis bagi kes di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, suspek yang mempunyai dua orang isteri itu juga terlibat dalam empat rekod jenayah lampau di mana kesemuanya adalah melibatkan kesalahan narkotik.

“Nilai rampasan dadah ganja itu adalah dianggarkan berjumlah RM6,200 dan ia juga mampu menampung permintaan seramai 2,000 orang penagih,” katanya.

Di samping itu, Mohd Shokri berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek juga mendapati dia turut positif dadah jenis Methamphetamine dan telah direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Pindaan Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.

“Polis turut memberi amaran keras akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan dadah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shokri berkata, Ops Tapis Khas Semalaysia yang bermula pada 10 Julai sehingga semalam telah membawa kepada penahanan seramai 39 orang suspek atas kesalahan narkotik.

Tambahnya, nilai rampasan menerusi operasi selama tiga hari itu adalah berjumlah RM17,775 membabitkan pelbagai jenis dadah.

“Polis Padang Besar akan terus kekal fokus bagi memastikan keselamatan dan kententeraman awam terpihara daripada sebarang unsur jenayah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya