Polis tahan 37 individu kes penyeludupan manusia - Utusan Malaysia

Polis tahan 37 individu kes penyeludupan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis menahan 35 warga asing dan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan manusia di Segari dan Sitiawan, dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, polis menerima maklumat orang ramai mengenai sebuah bot terdampar di pesisir pantai Segari, dekat sini, bersama sekumpulan orang dipercayai warga Indonesia, pada pukul 9.45 pagi.

“Hasil pencarian di kawasan kebun sawit di Segari, pasukan polis berjaya menjejaki 35 warga Indonesia tersebut yang terdiri daripada 24 lelaki, 10 perempuan serta seorang kanak-kanak yang bersembunyi di kebun tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal daripada salah seorang warga Indonesia yang ditahan itu membolehkan polis menahan dua lelaki tempatan di sebuah restoran makanan laut di kawasan Kampung Baharu, Sitiawan.

Justeru, maklum beliau, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes penyeludupan manusia dan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan manusia dan Antipenyeludupan migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Beliau menjelaskan, kesemua tangkapan akan direman bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut.

Mohamed Nordin menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat atau bersekongkol dalam melindungi kemasukan pendatang asing yang mana mereka boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.

“Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Inspektor Muhammad Sollehuddin Rahmat di talian 013-7908995 untuk membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN