Polis siasat kenyataan Abdul Hadi 

Polis siasat kenyataan Abdul Hadi 

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang dipercayai menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G S Suresh Kumar berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kata beliau, siasatan dilakukan berhubung dakwaan Abdul Hadi bahawa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang diamalkan negara Barat.

“Kenyataan itu dipercayai dilakukan melalui hantaran Facebook Abdul Hadi pada Sabtu lalu dan ia turut diulas dalam artikel yang diterbitkan portal berita New Straits Times pada tarikh yang sama.

“Justeru, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, berikutan siasatan masih dijalankan, Suresh menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses tersebut.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” ujarnya.

Baru-baru ini, media melaporkan Abdul Hadi menyerang DAP dengan mendakwa parti itu memiliki agenda perkauman Cina dan mahu menyambung usaha penghapusan ketuanan Melayu serta Bumiputera yang dirancang penjajah British.

Abdul Hadi turut mendakwa, DAP menggunakan jurubicara dalam kalangan orang Melayu untuk mencapai agenda parti itu, manakala parti lain yang bekerjasama dengan DAP hanya menumpang pengaruhnya untuk menang.

Pada 3 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi agar tidak memainkan isu-isu sensitif khususnya isu 3R sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, ia bagi mengelakkan wujud ketidakharmonian dalam kalangan rakyat terutamanya institusi diraja, agama dan bangsa sepanjang perjalanan PRN nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya