Polis Perak kenal pasti kuarters, balai perlu diselenggara - Utusan Malaysia

Polis Perak kenal pasti kuarters, balai perlu diselenggara

MOHD. Yusri Hassan Basri (tiga dari kanan) pada Program Kayuhan Mega Perpaduan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di Stadium Indera Mulia di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak telah mengenal pasti beberapa kuarters dan balai di negeri ini yang perlu diselenggara dan dinaik taraf di bawah peruntukan tambahan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, antara yang telah dikenal pasti ialah kuarters dan balai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, IPD Kampar dan IPD Gerik.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan itu perlu diberi perhatian segera bagi tujuan keselamatan dan keselesaan warga pasukan tersebut.

“Saya dapati untuk polis Perak memang ada balai dan kuarters agak usang yang perlu diberi perhatian dan pembaikan.

“Jadi, saya telah arahkan ketua jabatan logistik untuk mengenal pasti balai dan kuarters yang betul-betul memerlukan untuk dilakukan pembaikan menerusi peruntukan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Kayuhan Mega Perpaduan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Pada 15 Julai lalu, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur PDRM dan Jabatan Penjara di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, peruntukan sebanyak RM50 juta disalurkan kepada pasukan polis melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan kuarters termasuk ibu pejabat.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, peruntukan yang diterima itu tidak membabitkan pembinaan baharu bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Bandar Meru Raya.

“Untuk IPK baharu, kita dapat kelulusan peruntukan lain. Setakat ini, ia masih lagi di peringkat pusat,” katanya.

Pada kayuhan tersebut, seramai 1,700 peserta turut serta membabitkan dua kategori kayuhan sejauh 15 kilometer dan 50 kilometer. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya