Polis pandang serius penyebaran berita tidak sahih kes lama - Utusan Malaysia

Polis pandang serius penyebaran berita tidak sahih kes lama

TANGKAP layar hantaran dalam Facebook mengenai kemalangan jalan raya yang berlaku empat tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung memandang serius penyebaran berita tidak sahih melibatkan kes kemalangan jalan raya yang telah selesai di mahkamah kira-kira empat tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya mengesan satu hantaran yang dikongsi dan dimuat naik oleh pemilik akaun bernama ‘Jack’ dalam laman sesawang Facebook ‘B40 buat perangai apa hari ini’ kira-kira pukul 3 petang hari ini.

Hantaran sepanjang 10 perenggan itu adalah mengenai kejadian kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan awam dan sebuah kereta peronda polis yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Mempisang, Seri Manjung, kira-kira pukul 8.45 pagi pada 21 Jun 2019.

Menurutnya, dalam kejadian itu kereta peronda polis yang membawa tangkapan seorang lelaki dari arah Hospital Seri Manjung (HSM) ke Balai Polis Sitiawan telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Honda Civic yang dari arah Tesco, sekarang Lotus menghala Kampung Cina.

Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga tidak sempat menekan brek lantas melanggar belakang kereta peronda polis.

“Siasatan kes itu telah lengkap dan arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Perak ialah mendakwa pemandu Honda Civic di bawah Rule 9(2) LN 166/1970.

“Dakwaan dibuat atas kesalahan tidak memberi keutamaan mengatasi lalu lintas kepada kenderaan polis, bomba dan ambulans, yang sedang bergerak dalam kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pemandu Honda Civic telah dituduh di Mahkamah Seri Manjung pada 3 September 2019 dan sudah dijatuhkan hukuman denda oleh mahkamah yang mana telah dibayar oleh pemandu tersebut pada hari sama.

Oleh itu, Mohamed Nordin menyeru dan mengingatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dulu kesahihan dan kebenaran sesuatu berita sebelum membuat perkongsian di mana-mana platform media sosial.

Ujarnya, orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh membimbangkan masyarakat.

Setakat pukul 7 malam ini, hantaran tersebut menerima 1,700 komen dan 630 perkongsian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya