PN mahu hapus caj parkir di utara Selangor - Utusan Malaysia

PN mahu hapus caj parkir di utara Selangor

Caj parkir
MOHAMED Azmin Ali ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PN DUN Permatang di Tanjong Karang, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) berikrar mengecualikan bayaran parkir di kawasan utara negeri ini jika berjaya peroleh mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos depan.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu tidak sukar dilaksanakan kerana beliau dan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi  mempunyai pengalaman ketika mentadbir Selangor.

“Mahu kecualikan parkir (bayaran) di Tanjong Karang dan Selangor Utara itu hanya masalah kecil sahaja.

“Insya-Allah kalau orang Permatang, Sungai Burong, Tanjong Karang, Sungai Besar, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan seluruh negeri ini PN menang, kita kecualikan parkir di Selangor Utara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, malam tadi.

Tambah bekas Menteri Besar itu, Selangor mempunyai RM4 bilion rizab negeri ketika pentadbiran beliau bersama Exco Pas sebelum ini.

“Kita beri air percuma, Skim Peduli Sihat, Skim Khairat (Mesra Usia Emas) dan Program Hijrah (Yayasan Hijrah Selangor). Ingat Hijrah? Hendak berniaga tepi jalan modal tiada hendak besarkan perniagaan, kami beri modal (pinjaman Hijrah) dari RM10,000 hingga RM50,000,” jelasnya.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dalam ucapannya berkata, penduduk Tanjong Karang sejak dulu tidak bersetuju caj parkir kenderaan berbayar dikenakan di kawasan tersebut.

“Kawasan Tanjong Karang masih dikategorikan kawasan luar bandar dan penduduk datang membeli barang bukannya lama tetapi keluar minum di kedai pun sudah kena saman (kompaun).

“Saya yakin kali ini kalau PN menang (di Selangor), perkara ini dapat diselesaikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN