PM bantu bekas pemandu terlantar akibat masalah kesihatan - Utusan Malaysia

PM bantu bekas pemandu terlantar akibat masalah kesihatan

MUHAMMAD Arafat Varisai Mahamad (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan Perdana Menteri kepada Saleh Ibrahim Kamaruddin di Kampung Cheh, Bukit Gantang. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim prihatin terhadap keadaan bekas pemandu yang berkhidmat dengan keluarga beliau selama 11 tahun, Saleh Ibrahim Kamaruddin, 58, yang mengalami masalah kesihatan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri membantu kebajikan dan keperluan Saleh Ibrahim yang menghidap kencing manis dan angin ahmar dan kini terlantar di rumahnya di Kampung Cheh di sini.

Naib Pengerusi PKR Perak, Muhammad Arafat Varisai Mahamad diberikan amanah untuk menguruskan bantuan dan keperluan Saleh.

Muhammad Arafat berkata, sebaik sahaja mendapat tahu mengenai keadaan bekas pemandu yang terlantar akibat masalah kesihatan, Perdana Menteri dan keluarga menghubungi beliau dan memintanya menguruskan keperluan dan kebajikan Saleh.

“Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada bekas pemandunya, juga bantuan untuk keperluan lain pada masa depan.

“Setelah bertemu dengan Saleh dan menjelaskan kepadanya, dia bersetuju untuk tinggal di Rumah Seri Kenangan di Taiping,” katanya kepada pemberita ketika melawat Saleh di sini hari ini.

Kata Muhammad Arafat, Saleh menghidap penyakit kencing manis dan diserang angin ahmar sejak dua tahun lalu.

“Memang ada ahli keluarganya iaitu abang kandungnya yang menjaga dan menguruskannya selama ini.

“Namun dalam keadaan usia abangnya juga telah menjangkau lebih 60 tahun, sudah tentu agak sukar untuk dia menjaga adiknya dengan baik,” katanya.

Sementara itu, abang Saleh, Abdul Mutalib, 61, menyatakan rasa syukur dengan bantuan yang diterima daripada Perdana Menteri yang disampaikan menerusi Muhammad Arafat.

“Saya bersyukur kehadiran Muhammad Arafat berjaya memujuk adik saya untuk tinggal dan dijaga di Rumah Seri Kenangan di Taiping.

“Perkara paling penting adik saya ditempatkan di tempat yang mempunyai segala kemudahan dan kelengkapan termasuk pusat rawatan bagi merawat penyakitnya” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya