PKS antara golongan majikan culas daftar, carum Perkeso pekerja

PKS antara golongan majikan culas daftar, carum Perkeso pekerja

MOHAMMED Azman Aziz Mohammed ketika menyempurnakan Ops Kesan PERKESO di Kompleks TH Sepang. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak mempunyai pengurusan sumber manusia yang sistemik merupakan antara golongan majikan yang culas mendaftarkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja mereka.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, majikan yang menjalankan perusahaan kecil juga dilihat mempunyai tahap kesedaran yang rendah untuk mendaftarkan pekerja tetap atau sambilan mereka.

“Majikan-majikan kedai kecil, peniaga runcit atau makanan mereka ini yang kebanyakannya tidak mendaftar, kalau syarikat gergasi mereka ada bahagian pengurusan sumber manusia yang tahu tanggungjawab untuk daftarkan keperluan statutori.

“Mereka ini yang selalu kurang kesedaran kerana tiada sumber manusia dan buat semua kerja sendiri,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Operasi Pengesanan Majikan (Op Kesan) Peringkat Kebangsaan 2023 di Kota Warisan hari ini.

Op Kesan merupakan tindakan penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan pegawai penguat kuasa Perkeso melibatkan 54 pejabat di seluruh negara bagi menjejak majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum pekerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Selain isu PKS, Mohammed Azman berkata, masih terdapat majikan yang tidak mendaftarkan caruman bagi pekerja sambilan dengan memberi alasan bahawa mereka tidak tahu bahawa pekerja terbabit perlu didaftarkan.

Beliau menegaskan, setiap pekerja sama ada yang bekerja secara tetap, sementara atau sambilan perlu didaftar dan mempunyai caruman Perkeso sebagai perlindungan pekerja.

“Operasi yang kita buat hari ini daripada tiga majikan yang kita lawat, dua kita keluarkan kompaun kerana mempunyai pekerja ‘part time’ yang tidak dicarum kerana mereka tidak pasti sama ada pekerja-pekerja ‘part time’ perlu dicarum.

“Ini agak mengecewakan kerana majikan hanya menjalankan aktiviti perniagaan tetapi tidak melihat tanggungjawab mereka untuk mendaftar pekerja dan memastikan caruman pekerja dibayar,” ujarnya.

Mengulas mengenai operasi hari ini, beliau berkata, sebanyak 1,994 pemeriksaan dijalankan ke atas premis majikan bermula 1 Julai lalu sehingga hari ini dengan masing-masing sebanyak 301 dan 87 notis dikeluarkan bagi Akta 4 dan Akta 800 melibatkan nilai kompaun RM413,900.

Menurutnya, operasi pengesanan kali ini dijalankan di sekitar daerah Sepang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan melibatkan pegawai penguat kuasa dari Pejabat Perkeso Putrajaya, Selangor serta Negeri Sembilan.

“Sebelum ini, Perkeso memberi peluang kepada majikan selama dua bulan tempoh pemutihan iaitu bermula 1 Mei hingga 30 Jun lalu untuk mendaftar perusahaan dan mencarum pekerja mereka secara sukarela tanpa sebarang tindakan penalti atau kompaun,” katanya.

Tambahnya lagi, berdasarkan rekod pendaftaran, sehingga 30 Jun lalu, sejumlah 1.16 juta majikan mendaftar dengan Perkeso, namun jumlah majikan yang aktif mencarum sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan hanya berjumlah 581,936 majikan.

Katanya, kegagalan majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan kompaun dan pendakwaan dengan jumlah kompaun boleh mencecah sehingga RM5,000 bagi setiap kesalahan yang dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya