Pindaan Perlembagaan meliputi isu kanak-kanak lahir luar negara akan dipersembah ke Majlis Raja-Raja 

Pindaan Perlembagaan meliputi isu kanak-kanak lahir luar negara akan dipersembah ke Majlis Raja-Raja 

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pindaan kepada keseluruhan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja.

Pindaan itu turut merangkumi Jadual Pertama dan Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan yang meliputi isu kewarganegaraan kanak-kanak dilahirkan di luar negara kepada ibu berwarganegara Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebanyak lapan cadangan pindaan dikenal pasti berdasarkan kepada dapatan melalui analisis kajian, sesi libat urus, kajian perbandingan perundangan negara-negara lain serta perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet dan Jawatankuasa Teknikal.

“Pada masa ini, kerajaan sedang menyediakan dokumen pembentangan yang meliputi kesemua cadangan pindaan dan juga mengambil kira pandangan rakyat Malaysia untuk dipersembah di mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan diadakan setelah pilihan raya kesemua enam negeri selesai.

“Sebarang cadangan pindaan hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja selaras dengan kehendak peruntukan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, cadangan pindaan ini turut memerlukan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 161E(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara oleh sebab perhubungan Sabah dan Sarawak atau jaminan layanan sama rata antara orang yang lahir dan bermastautin di Negeri-Negeri Borneo dengan orang yang lahir di Negeri-Negeri Melayu.

“Kerajaan memberi jaminan memelihara kepentingan hak-hak wanita atau ibu warganegara Malaysia dan anak-anak mereka. Pindaan ini memberi peluang kesamarataan jantina kepada warganegara Malaysia untuk memperoleh kewarganegaraan anaknya yang lahir di luar negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keseluruhan Jemaah Menteri komited dalam membentangkan cadangan pindaan yang adil dan wajar dengan mengambil kira pandangan daripada semua pihak berkepentingan serta suara rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya