RAUB: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Raub menuntut peruntukan segera bagi menggantikan kerusi dan meja kantin sekolah itu yang sudah uzur.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG sekolah terbabit, S. Damarajah berkata, ia perlu disegerakan menerusi peruntukan tambahan RM30 juta bagi membiayai kerja baik pulih kemudahan di SJKT seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 10 Jun lalu.
“Sehubungan itu, PIBG sekolah ini memohon peruntukan khas RM23,000 bagi menggantikan kerusi dan meja kantin sekolah yang uzur.
“Kami berpandangan sudah sampai masanya menerusi peruntukan tambahan disediakan kerajaan, kantin sekolah ini diganti kerusi dan meja baharu,” katanya di sini semalam.
Damarajah berkata, PIBG sekolah itu memandang serius keadaan perabot yang sudah ketinggalan zaman dan kurang sesuai digunakan 200 murid dan 19 guru SJKT Raub.
Beliau percaya kepimpinan Anwar di bawah Gagasan Malaysia Madani dapat menyalurkan peruntukan sama rata kepada SJKT di negara ini.
Sementara itu, Guru Besar SJKT Raub, K. Tamilvanen berharap, kemudahan dan fasiliti di sekolah tersebut dapat ditingkatkan termasuk kerusi dan meja baharu kantin sekolah.
Menurutnya, pihak sekolah turut berterima kasih kepada Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, A. Arvend yang membuat lawatan ke sekolah itu baru-baru ini.
“Kita harap kunjungan Arvend memberikan khabar gembira kepada warga sekolah ini,” katanya. –UTUSAN