PONTIAN: Nasi beriani ayam dan kambing JDT mengiringi perjuangan pasukan bola sepak JDT menghadapi perlawanan akhir Piala FA menentang Kuala Lumpur City (KL City) malam ini.
Bagi tujuan tersebut sebanyak RM5,000 dikumpulkan bagi menjayakan program tayangan ‘big screen’ anjuran Belia 4B Tunas Bakti Kawasan ( 3 ) Parit Terus Sanglang, disini.
Menurut penganjur, Ahmad Nasir, selain bagi tujuan menyediakan jamuan untuk 500 orang, pihaknya juga menyediakan cenderamata bertuah kepada penonton yang datang selain pertandingan untuk kanak-kanak.
Katanya, kerja-kerja memasak nasi beriani ayam dan kambing JDT bermula pada pukul 11 pagi sebelum dihidangkan kepada tetamu selepas maghrib.
“Kami bersyukur dengan sokongan semua pihak yang menyumbang dalam bentuk wang tunai selain tajaan daging kambing bagi memeriahkan perlawanan pada malam ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Kawasan Kampung (JPKK) Kawasan 3 Mukim Ayer Baloi gembira dengan penglibatan semua pihak bagi menjayakan program itu.
“Sebagai peminat tegar pasukan JDT, kami berharap kemenangan akan berpihak kepada JDT kerana bermain di tempat sendiri dengan sokongan padu penonton tempatan,” jelasnya.
Katanya, cadangan mengadakan tayangan ‘big screen’ dibincangkan seminggu lalu dan mendapat persetujuan daripada pelbagai pihak untuk mengadakannya di Dewan Serbaguna Parit Terus. – UTUSAN