PHBN mahu kuasai dua negeri pembangkang - Anwar

PHBN mahu kuasai dua negeri pembangkang – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Blok kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PHBN) memberi bayangan untuk menguasai dua negeri pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara dasarnya, PHBN mahu memberi tumpuan kepada semua enam negeri pada PRN nanti.

Namun, katanya, perkembangan semasa menunjukkan tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan kekal bertahan dan tumpuan seterusnya untuk menguasai dua lagi negeri.

“Saya lihat tiga negeri itu boleh bertahan, Insha-Allah dan kita boleh menjurus kepada dua negeri lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Buku Adab Perbezaan Dalam Islam di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Anwar yang juga Perdana Menteri turut mengesahkan sudah selesai mengadakan perbincangan pengagihan kerusi dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, setakat ini, tiada pertindihan kerusi antara PHBN menjelang PRN itu nanti.

“Saya dan dia (Ahmad Zahid) hampir selesai semuanya, cuma kita beri ruang juga kalau ada pandangan yang dikemukakan kepimpinan negeri sama ada PH atau BN.

“Tetapi kalau dengan Ahmad Zahid sudah selesai dan setakat ini tiada pertindihan kerusi,” katanya.

Katanya, beliau turut mengesahkan akan melancarkan jentera pilihan raya pada perhimpunan besar yang akan berlangsung di Selangor, Jumaat ini.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata mesyuarat itu susulan penerimaan notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker DUN masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya