PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) akan memberikan fokus utama bagi menarik sokongan pengundi atas pagar pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang akan berlangsung 12 Ogos ini.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara itu lebih penting daripada melayan karenah kumpulan-kumpulan tertentu yang akhirnya menyebabkan PH terperangkap.
Beliau berkata, cara terbaik untuk meyakinkan rakyat adalah menumpukan kepada perkara-perkara penting untuk rakyat sebab ia ada kesan dan hasil.
“Sebab itu tumpuan kita kepada pengundi atas pagar ini, lebih memberikan hasil dalam PRN dari kami terperangkap dengan kumpulan tertentu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pengumuman Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia semalam yang secara terbuka menzahirkan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) sempena PRN ini.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, pihaknya menyerahkan masalah dalaman yang berlaku terhadap UMNO kepada pucuk pimpinan parti tersebut untuk mengatasi isu berkenaan.
Menurutnya, sebagai parti yang mengangkat Kerajaan Perpaduan, PH akan menyakinkan pengundi di enam negeri terhadap perkara-perkara paling penting dilakukan oleh parti-parti dalam kerajaan.
“Jadi, hal dalaman UMNO dari segi pandangan kumpulan yang berbeza dalam UMNO itu sebaiknya, kami serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan UMNO untuk uruskan,” katanya.
Sebelum ini, Presiden pertubuhan berkenaan, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz dipetik berkata, kumpulan tersebut yang merupakan penyokong bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan sikap Timbalan Perdana Menteri, yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana membisu tanpa tiada sebarang langkah untuk memberikan keadilan kepada Najib.
Katanya, selama ini mereka mengambil sikap bersangka baik terhadap Ahmad Zahid kerana yakin beliau dapat memberi keadilan kepada Najib. – UTUSAN