GEORGE TOWN: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan perbezaan kekuatan akar umbi masing-masing untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos ini.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BN khususnya UMNO mempunyai akar umbi yang kuat di kawasan kampung atau pedalaman manakala kekuatan akar umbi DAP adalah di kawasan bandar.
Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula, kata Anwar yang juga Perdana Menteri, parti itu mempunyai kekuatan akar umbi di kawasan bercampur-campur.
“Kalau PH-BN ini ada strategi ampuh dengan kumpul kekuatan akar umbi masing-masing, pada masa depan, tiada siapa boleh goncang kita.
“Syaratnya kita kena kerah seluruh tenaga (untuk berdepan PRN),” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Seberang Jaya, dekat sini malam ini.
Program itu dihadiri hampir keseluruhan pemimpin PH dan BN termasuk Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau yakin gabungan PH dan BN di Pulau Pinang akan menempah sejarah dukungan rakyat yang luar biasa kepada Kerajaan Perpaduan pada PRN negeri itu akan datang.
Jelasnya, beliau kagum melihat kebangkitan penduduk Pulau Pinang dan yakin mereka akan memilih kerajaan negeri yang terbukti rekodnya di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
“Insya-Allah, ini kali pertama dalam sejarah PH memerintah dan BN sebagai pembangkang yang kuat di Pulau Pinang sekarang bergabung bukan semata-mata untuk mempertahankan kuasa.
“Tetapi berasaskan prinsip untuk selamatkan negara, jaga tatakelola baharu dalam negara dengan menghentikan amalan lama (rasuah dan sebagainya),” katanya. – UTUSAN