Peruntukan tidak ada masalah, cuma beberapa diskriminasi perlu diberi perhatian - Utusan Malaysia

Peruntukan tidak ada masalah, cuma beberapa diskriminasi perlu diberi perhatian

Keratan Akhbar Utusan Malaysia-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli tidak menafikan peranan kerajaan Pusat khususnya dalam aspek peruntukan di negeri itu, namun, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Shukri berkata, hubungan di antara kerajaan negeri dengan Pusat juga cukup baik selama ini.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa perkara melibatkan diskriminasi terhadap kerajaan negeri yang wajar diberi perhatian oleh Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata beliau, perkara yang perlu diberi perhatian seperti gambar Menteri Besar tidak digantung di jabatan-jabatan pendidikan, wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) tidak dibenarkan merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan beliau sendiri tidak dijemput ke majlis-majlis kerajaan khususnya.

Selain itu, mereka juga sukar mendapat kerjasama daripada sesetengah jabatan kerajaan khususnya daripada aspek menggunakan kemudahan jabatan berkenaan.

“Daripada segi peruntukan, betul kita tidak nafikan tidak ada masalah atau diskriminasi daripada kerajaan Persekutuan. Setakat sekarang, peruntukan dapat.

“Cuma, beberapa perkara itu yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan supaya kita tidak dipinggirkan. Kerajaan negeri tidak pernah mempunyai masalah dengan Pusat,” katanya.

MOHD. SHUKRI RAMLI

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan penegasan Anwar bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya tidak pernah mendiskriminasi negeri-negeri yang diterajui parti Pas.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, sudah banyak peruntukan diberikan oleh Kerajaan Perpaduan kepada Kelantan dan Perlis, malah peruntukan yang pernah diberikan oleh Kerajaan Perpaduan adalah lebih banyak berbanding Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Kata Anwar lagi, pihaknya turut membantu Perlis selepas Pas menjadi kerajaan di negeri itu dan jika kerajaan Pusat tidak membantu dan memberi peruntukan mereka tidak dapat membayar gaji.

Dalam lawatan Perdana Menteri ke Perlis Januari lalu, Anwar sendiri mengakui Mohd. Shukri seorang Menteri Besar yang lebih sederhana dan lembut selain memberi jaminan akan memberi lebih tumpuan kepada Perlis khususnya dari aspek membantu mengukuhkan ekonomi.

Anwar berkata, pendekatan lebih terbuka, sederhana dan lembut ditunjukkan Menteri Besar yang mengetuai kerajaan PN itu cukup positif dalam mengeratkan lagi hubungan kerajaan negeri dan Pusat.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, kerjasama erat pusat dan negeri itu sentiasa diteruskan tanpa ada sebarang masalah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya