Peruntukan tambahan RM150 juta jamin keselesaan warga PDRM

Peruntukan tambahan RM150 juta jamin keselesaan warga PDRM – Razaruddin

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penambahan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur dapat memperkasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain memastikan kebajikan anggota pasukan keselamatan tersebut terjamin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan tinggi kepada kerajaan terhadap penambahan peruntukan tersebut dalam usaha meningkatkan keselesaan warga PDRM.

“Kami menyambut baik penambahan peruntukan ini terutama bagi menaik taraf pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di beberapa negeri yang patut diberi perhatian.

“Peruntukan ini juga dapat membantu PDRM menyelenggara dan membaik pulih kerosakan kuarters polis yang uzur untuk memastikan setiap pegawai dan anggota dapat duduk lebih selesa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Kerajaan semalam mengumumkan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Penjara di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, jumlah itu adalah tambahan kepada peruntukan pembangunan berjumlah RM200 juta yang disalurkan melalui Belanjawan 2023 untuk penyelenggaraan fasiliti kuarters beberapa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tambahan RM150 juta terbabit dirancang disalurkan tahun hadapan, namun beliau menyegerakannya selepas melihat sendiri dan menilai laporan mengenai keadaan fasiliti serta infrastruktur terbabit.

Katanya, untuk kerja-kerja penyelenggaraan kuarters PDRM termasuk ibu pejabat, beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM50 juta manakala RM45 juta lagi diluluskan khusus untuk penambahan dan naik taraf, serta perolehan peralatan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Saya luluskan RM45 juta bagi PGA itu segera dan apabila saya kata segera, maknanya hari Isnin ini wang mesti disalurkan dan saya akan bincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi mempercepat projek terbabit.

“Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu pula tempat orang bertarung nyawa tetapi pejabat sementaranya hanya rumah kedai dan berselerak. Jadi saya luluskan RM40 juta untuk infrastruktur dan fasiliti berkaitan ESSCOM,” katanya. 

Anwar berkata, kali terakhir projek perumahan secara besar-besaran sebegini diteliti ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya