KUALA TERENGGANU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan
Selain calon parti tradisi daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut meletakkan calon tunggalnya di Terengganu di DUN tersebut.
Muda menampilkan Ketua Penerangannya, Luqman Long, 30, bagi menentang penyandang, Ahmad Shah Mohamed, 55, daripada PN.
Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd., 43.
Pencalonan mereka diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bandar, Ahmad Azmi Awang di pusat penamaan calon, Dewan Serbaguna Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Terdahulu ketiga-tiga calon menghantar borang pencalonan masing-masing secara berperingkat bermula pukul 9 pagi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahmad Shah menewaskan penyandang sebelum itu, Azan Ismail (PH) dan Toh Seng Cheng (BN) dengan majoriti 2,091 undi. – UTUSAN