SHAH ALAM: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan Kota Anggerik menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasioanl (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Bagi DUN Batu Tiga, PH diwakili Danial Al-Rashid, sementara PN dan Muda masing-masing mencalonkan, Datuk Seri Rina Harun dan Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen atau lebih dikenali sebagai Cheda Razak.
Manakala bagi DUN Kota Anggerik, penyandangnya daripada PH, Mohd. Najwan Halimi akan mempertahankan kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan menentang calon PN, Mohamed Sukri Omar dan Muda, Azad Akhbar Khan.
Tidak kelihatan mana-mana individu yang hadir untuk menjadi calon bebas di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam, sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menutup pencalonan pada pukul 10 pagi.
Kertas penamaan kesemua calon diterima sebelum pukul 10 pagi dan tidak ditolak oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bahagian Batu Tiga, Asmah Mohd. Zin dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bahagian Kota Anggerik, Dr. Nor Fuad Abdul Hamid.
Asmah dan Dr. Nor mengumumkan nama calon yang bertanding untuk dua DUN berkenaan kira-kira pukul 10.40 pagi.
Kesemua calon dan penyokong parti pada pukul 8 pagi dengan masing-masing membawa bendera serta sepanduk, memberi semangat kepada calon.
Hadir sama memberikan sokongan kepada calon PH adalah Presiden Amanah yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. – UTUSAN