Persiapkan ilmu, akidah elak ketegangan dalam negara - PM

Persiapkan ilmu, akidah elak ketegangan dalam negara – PM

ANWAR Ibrahim bersama Mufti Besar India, Sheikh Abu Bakr Ahmad ketika menghadiri Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari di Masjid Putra, Putrajaya.. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persiapan ilmu dan akidah amat penting dalam usaha memperkasa dan memperkukuh agenda Islam di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, persiapan ilmu juga penting bagi mengelak ketegangan panas dan ‘tajam’ dalam masyarakat.

Justeru, katanya, tradisi Islam sejak zaman Rasullullah SAW sentiasa mempersiapkan umat dengan ilmu, malah Islam boleh ditegakkan dengan ilmu dan amal, bukan semata-mata dengan semangat jeritan.

“Justeru, Kerajaan Perpaduan sentiasa membawa ulama-ulama besar ke negara ini bagi mempersiapkan umat Islam dengan ilmu dan akidah.

“Apa pun tafsiran orang luar, kita masih tekankan soal pendidikan dan kesedaran Islam, malah kita guna dana kerajaan untuk sebar risalah penting berkaitan Islam.

“Sebelum ini, kita bawa dua tokoh ulama besar dunia Islam, bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Prof. Dr. Ali Jumuah Al Azhari dan Pengasas serta Pengetua Dar Al Mustofa (Tarim, Yaman), Habib Umar Muhammad Bin Salim Ben Hafidz.

“Malah, hari ini (malam ini) kita bawa pula Mufti India, Sheikh Abu Bakar Ahmad dan Ulama al-Azhar yang juga Penasihat Kepada Presiden Republik Arab Mesir (Hal Ehwal Agama), Sheikh Dr. Usamah Sayyid Al-Azhari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan 2023 di Masjid Putra, di sini malam ini.

Katanya, beliau kagum dengan usaha dibawa Sheikh Abu Bakar yang mewujudkan sebuah institusi Islam swasta terbesar di dunia Jamia Markaz di Kerala, India yang lengkap dengan masjid, hospital, hotel dan menawarkan pelbagai peringkat pengajian agama.

Turut berlangsung syarahan ilmu dan doa yang disampaikan Mufti India itu yang juga penerima Tokoh Ma’al Hijrah Antarabangsa dan Sheikh Dr. Usamah Sayyid Al-Azhari.

Program sama turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan Universiti Jamia Markaz, India.

Malah, turut berlangsung majlis penyerahan surat lantikan Profesor Adjung, Institut Peradaban Islam Antarabangsa (UCYP) dan Felo Kehormat Institut Kepimpinan Strategik Tun Ghazali Shafie kepada Sheikh Abu Bakar.

Lebih 3,000 orang tetamu hadir program itu terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pegawai kanan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) Islam, ilmuan agama, cendikiawan Islam dan orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya