KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan perluasan liputan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas populasi umur bekerja secara berperingkat mengikut fasa.
Perkara itu antara tiga tunjang Program Perlindungan Sosial yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di sini hari ini.
Anwar menambah, kerajaan telah menyediakan peruntukan RM100 juta bagi tahun 2023 untuk menyediakan 80 peratus geran bagi membiayai caruman Perkeso pekerja gig.
“Walau bagaimanapun menurut data KWSP, lebih 40 peratus tenaga buruh tidak mendapat perlindungan untuk simpanan persaraan sewajarnya terutamanya melibatkan pekerja tidak formal.
“Oleh itu, dicadangkan diperluaskan liputan perlindungan KWSP dan Perkeso ke atas populasi umur bekerja secara berperingkat mengikut fasa,” katanya.
Selain itu katanya, kemampanan simpanan persaraan dengan penambahbaikan akan dilakukan bagi memastikan tahap simpanan persaraan yang mencukupi untuk menampung kehidupan rakyat Malaysia yang akan menempuh alam persaraan.
“Perlindungan melalui Bantuan Sosial. Pelbagai program bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan ditambah baik untuk memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan akan terus mengukuhkan sistem insurans pekerjaan serta program latihan semula bagi menyediakan penganggur dengan pekerjaan.
“Pendekatan ini selaras dengan peralihan daripada melindungi pekerjaan kepada melindungi pekerja (from protecting jobs to protecting the worker) dalam konteks ekonomi yang cepat berubah,” katanya. – UTUSAN