Perkasa desak kerajaan hentikan semua konsert artis luar

Perkasa desak kerajaan hentikan semua konsert artis luar

Aksi Matty Healy memegang botol arak ketika mengadakan persembahan dalam Festival Good Vibes 2023 di Sepang, malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menghentikan konsert penyanyi luar negara susulan aksi biadab artis berkumpulan dari United Kingdom, The 1975, malam tadi. 

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, langkah itu perlu kerana dikhuatiri mereka akan membawa anasir yang negatif untuk generasi muda.

Beliau berkata, tindakan kumpulan The 1975 tidak boleh terima kerana secara jelas menghina undang-undang dan Islam sebagai agama Persekutuan yang menolak amalan songsang lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ). 

“Konsert The 1975 merupakan satu ancaman kepada generasi muda kerana vokalis tersebut secara terbuka turut mempromosikan arak dalam persembahannya dan ini akan merosakkan lagi akidah dan akhlak anak muda jika tiada sekatan untuk menghalang apa jua anasir negatif yang cuba dibawa ke negara ini. 

“Artis antarabangsa perlu tahu dan diberitahu negara ini mempunyai undang-undang yang sudah pasti tidak sama dengan negara mereka yang kebanyakan artisnya mengiktiraf LGBTQ,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu, vokalis The 1975, Matty Healy mengundang kecaman ramai selepas menunjukkan pelbagai aksi melampau di hadapan peminat di Good Vibes Festival 2023. 

Healy didakwa memegang botol arak ketika berada atas pentas selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.

Vokalis itu juga membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebelum bertindak mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas. 

Irwan Fahmi berkata, Perkasa juga meminta penganjur konsert itu memberikan penjelasan yang lengkap atas alasan apa kumpulan The 1975 itu diberi kebenaran membuat konsert di Malaysia. 

“Kita perlu usir orang sebegini yang tidak menghormati undang-undang dan adab di negara ini. Jika benar kerajaan ingin memperhebatkan industri seni, banyak lagi artis tempatan boleh dipanggil,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya