Perkampungan Cina Hainan bakal dimajukan sebagai kawasan ekopelancongan - Utusan Malaysia

Perkampungan Cina Hainan bakal dimajukan sebagai kawasan ekopelancongan

MOHD. Khairi Afiq Mohd. Yusof (tengah) bersama penduduk di perkampungan Cina Hainan di Air Jernih, Kemaman, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWAN NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kawasan perkampungan Cina Hainan tertua di negara ini yang terletak di Kampung Air Jernih, dekat sini, akan dimajukan sebagai kawasan ekopelancongan, sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Mohd. Khairi Afiq Mohd. Yusof berkata, kawasan perkampungan yang wujud lebih 100 tahun itu berupaya menarik kunjungan pelancong dan sekaligus menjana pendapatan ekonomi kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Cadangan untuk memajukan ekopelancongan kawasan ini merupakan antara 10 cadangan yang dikemukan sendiri masyarakat Cina Hainan di Air Jernih.

“Insya-Allah sekiranya diberi mandat, ini akan menjadi salah satu agenda yang akan saya lakukan dan rekod pentadbiran BN selama ini sememangnya mengambil berat isu ekonomi rakyat termasuk dalam memajukan industri pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan masyarakat Cina di Kelab MCA Pekan Air Jernih, dekat sini, hari ini.

Mohd. Khairi Afiq berkata, lokasi perkampungan itu berhampiran dengan Stesen Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang rancak dalam pembinaan, sememangnya berpotensi untuk dimajukan dan dijadikan lokasi tumpuan pelancongan.

“Pekan Air Jernih ini mempunyai keunikan tersendiri yang mana kaum Cina Hainan yang fasih berbahasa Melayu khususnya menggunakan loghat Terengganu masih mengekalkan tradisi mereka.

“Kita boleh kekalkan bangunan lama di sini sebagai tarikan seperti Kampung Cina di Kuala Terengganu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN