LUMUT: Kerajaan Perak akan mewartakan kawasan Pantai Teluk Ketapang di Pulau Pangkor sebagai santuari penyu sebagai usaha memastikan kawasan pantai itu terus kekal menjadi lokasi pendaratan haiwan itu untuk bertelur.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, langkah itu sekali gus memastikan tiada projek pembangunan khususnya komersial dibangunkan di kawasan pantai yang terletak di antara Pantai Pasir Bogak dan Pantai Teluk Nipah, dua pantai popular di kalangan pelancong di Pulau Pangkor.
“Kita akan memastikan kawasan ini dikhususkan untuk penyu (bertelur), (dengan) mewartakannya sebagai tempat pemuliharaan dan pemeliharaan haiwan tersebut.
“Jadi orang lain tidak boleh membina bangunan di sinI. Itulah pendekatan kerajaan untuk memastikan pemuliharaan atau konservasi penyu ini dijalankan secara serius,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Zolkafly Harun, bagi merasmikan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Teluk Ketapang, Pulau Pangkor semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah.
Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Teluk Ketapang bernilai RM150,000 di kawasan seluas 7.99 hektar itu mula dibuka kepada orang ramai awal tahun ini.
Difahamkan, Pantai Teluk Ketapang menerima kehadiran antara empat dan lima ekor penyu spesis Agar setiap tahun untuk bertelur.
Menurut Mohammad Nizar, kerajaan Perak juga akan berusaha memastikan pusat konservasi dan penerangan penyu itu menjadi sebahagian lokasi tarikan untuk dikunjungi sempena Tahun Melawat Perak tahun depan.
Jelasnya, ia sekali gus dapat memberi kesedaran kepada pelancong mengenai kepentingan memelihara alam semula jadi khususnya kawasan pantai bagi membolehkan haiwan dilindungi seperti penyu tidak pupus pada masa depan.
Dalam pada itu, Wan Muhammad Aznan menjelaskan populasi penyu di negara ini mencatatkan sebanyak 11,129 ekor berdasarkan jumlah pendaratan yang direkodkan di tujuh negeri tahun lalu iaitu Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 977,905 pengeraman dan 681,077 penetasan telur penyu direkodkan dengan Terengganu mencatatkan kehadiran tertinggi haiwan itu dicatatkan di Terengganu iaitu 9,632 kali pendaratan, Melaka (969), Pahang (368), Perak (61) dan Pulau Pinang (54).
Pada masa sama, sebanyak empat kes pengutipan telur penyu secara haram berjaya dikesan iaitu tiga di Sabah dan satu di Terengganu.
Beliau turut mengajak penduduk di Pulau Pangkor untuk mendaftar secara percuma sebagai pengutip telur penyu berdaftar yang membolehkan mereka mengutip telur haiwan itu dan kemudian menjualnya kepada Jabatan Perikanan, sebagai pendapatan sampingan selain memastikan telur penyu dapat ditetaskan di pusat konservasi dan penerangan tersebut.
Ketika ini, katanya, seramai lapan orang sudah mendaftar sebagai pengutip telur penyu berdaftar dengan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari, dekat sini, bagi mengutip telur penyu di sepanjang Pantai Pasir Panjang, Segari. – UTUSAN