IPOH: Perak akan menjadi tuan rumah dua kejohanan hoki dalam dewan antarabangsa pada November ini.
Kejohanan itu ialah Piala Sultan Nazrin Shah (Lelaki) dan Piala Tuanku Zara (Wanita).
Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP), Mohd Sayuti Abdul Samat berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memberi perkenan penganjuran kedua-dua kejohanan itu.
Menurut Sayuti, kedua-dua kejohanan itu akan diadakan di Stadium Indera Mulia di sini.
“Sultan Nazrin memberi perkenan ketika Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal membuat kunjungan terhadap baginda di Istana Hinggap Perak di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Baginda juga telah perkenankan penganjuran Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah Edisi Ke-30 diadakan pada awal tahun 2024.
“Saya mengemukakan cadangan supaya Piala Sultan Azlan 2023 ditangguhkan memandangkan kesibukan pasukan kebangsaan.
“Bagaimanapun baginda berpesan supaya Piala Sultan Azlan diadakan pada setiap tahun,” katanya. – UTUSAN