Perak perlu bantuan Pusat, salur air terawat ke Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Perak perlu bantuan Pusat, salur air terawat ke Pulau Pinang

SAARANI Mohamad (tengah) bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 PTG Perak pada majlis di Ipoh. - MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri akan mendapatkan bantuan kerajaan Pusat berhubung rancangan membangunkan loji rawatan air di negeri ini, sekali gus melihat potensi membekalkan air terawat kepada Pulau Pinang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri melihat keperluan tersebut memandangan kos bagi membangunkan loji rawatan air melibatkan dana yang besar.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan kerajaan Pusat untuk melihat bagaimana bantuan boleh diberikan.

Bagaimanapun katanya, air terawat daripada loji tersebut terlebih dahulu akan dipastikan memenuhi keperluan di kawasan utara negeri Perak sebelum lebihan yang ada dibekalkan kepada Pulau Pinang.

“Kita akan berunding dengan kerajaan Pusat untuk melihat bagaimana dapat membantu mewujudkan loji rawatan untuk kawasan utara negeri Perak.

“Seterusnya kalau ada kelebihan, permintaan dan kita rasa mampu untuk menjual kepada Pulau Pinang, kita akan jual,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Pulau Pinang melalui surat sebelum ini menyatakan hasrat membeli air terawat daripada Perak.

Dalam majlis sama, Saarani mengumumkan kerajaan negeri telah menambah lebih 2,409 hektar Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan TRM di Perak kepada lebih 955,587 hektar.

Menurutnya, kelulusan tambahan membabitkan kawasan Pasir Panjang Hulu, Mukim Pasir Panjang Hulu dan Kampung Makmur di Mukim Kampong Gajah dalam daerah Perak Tengah masing-masing seluas 183 hektar dan 1,102 hektar.

“Tambahan turut membabitkan kawasan Mambang Di Awan dan Sungai Kroh di Mukim Chenderiang seluas 233.87 hektar dan 476.3 hektar, kawasan Kota Baharu di Mukim Teja, Kampar (395.36 hektar) dan Slim Hills di Mukim Slim, Muallim sebanyak 21.25 hektar.

“PTG Perak juga berjaya membuat rundingan untuk mewartakan kawasan seluas 800 hektar di Gunung Bersout, Batang Padang yang merupakan wakaf saraan bagi masjid seluruh negeri Perak sebagai kawasan tambahan TRM,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya