Perak kenal pasti tapak bina lapangan terbang antarabangsa di Bota - Utusan Malaysia

Perak kenal pasti tapak bina lapangan terbang antarabangsa di Bota

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin dalam sidang akhbar selepas taklimat dan pembentangan berkaitan cadangan pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Bota hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Kerajaan Perak telah mengenal pasti tapak baharu berhampiran Felcra Nasaruddin di Bota untuk pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, lokasi baharu itu terletak kira-kira 40 kilometer dari tapak cadangan asal lapangan terbang di Seri Iskandar.

Katanya, cadangan pembinaan lapangan terbang di tapak seluas 1618.7 hektar itu bagaimanapun memerlukan kajian teliti sebelum dilaksanakan.

“Hari ini, satu perjumpaan diadakan dengan Colebrand International Limited iaitu syarikat kejuruteraan infrastruktur dari United Kingdom berhubung tapak bagi pembinaan lapangan terbang baharu itu.

“Pihak syarikat kemudian dibawa ke lokasi yang dicadangkan di mana mereka akan menjalankan kajian bagi melihat kesesuaian tapak berkenaan sebelum menyerahkan hasil kajian tersebut kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat dan pembentangan berkaitan projek itu di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Colebrand International Limited, Jim Scott dan Pengurus Besarnya, Dr. Farid Idrus.

Menurut beliau, cadangan pembinaan lapangan terbang itu secara prinsipnya juga telah dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan.

“Syarikat ini telah pun berjumpa pihak Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan dan Menteri Besar Perak bagi memberi gambaran berkaitan pembinaan lapangan terbang itu.

“Maknanya tidak ada masalah dengan Kementerian Pengangkutan begitu juga Pejabat Perdana Menteri. Mereka telah memberikan satu indikasi untuk bersetuju dengan apa yang kita cadangkan,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai status tanah, Mohammad Nizar menjelaskan bahawa tapak terbabit merupakan sebahagian milik Felcra Nasaruddin, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri dan kerajaan negeri.

“Tapak lapangan terbang sebelum ini, melibatkan banyak tapak milik kampung dan tanah perkuburan yang menjadi masalah bagi penduduk setempat.

“Jadi tapak baharu ini tidak melibatkan peneroka haram, tidak melibatkan banyak masalah yang menghantui kerajaan negeri supaya mereka boleh terus membuat kajian lapangan dan rancangan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Farid berkata, kajian yang dijangka mengambil masa enam bulan itu akan melihat kepada kesesuaian lokasi tersebut sama ada sesuai dengan kehendak sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

Katanya, hasil kajian untuk fasa pertama itu akan dibentangkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan seterusnya.

“Bagi fasa pertama, kami akan melakukan kajian lapangan terlebih dahulu yang akan diketuai pakar dari luar negara iaitu Jim Scott, melibatkan topografi, geografi, hidrologi dan ekonomi di kawasan berkenaan.

“Jika kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan, maka fasa kedua yang akan dilaksanakan adalah membabitkan pembangunan projek.

“Berdasarkan jangkaan dan pengalaman kita, pembinaan itu dijangka mengambil masa 60 bulan atau lima tahun,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya