BATU GAJAH: Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) membuat permulaan baik pada Kejohanan bola sepak Liga JPN Perak-Perak FC B-17 Piala Cheetah 2023.
Pasukan itu yang diwakili SMK King Edward VII (KE) Taiping menang 4-0 ke atas SMK Sultan Yusoff (SYS), Batu Gajah (Kinta Selatan) dalam perlawanan pembukaan sempena pelancaran kejohanan itu di padang SYS di sini semalam.
Kejohanan ini merupakan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPNPk) dan Perak FC.
Kejohanan julung kali dianjurkan itu bagi mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan bagi mewakili pasukan bola sepak Perak FC Bawah 18 Tahun dalam saingan Piala Belia musim 2024.
Malis pelancaran serta sepak mula kejohanan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairuddin Abu Hanipah.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid), Zulkafli Mohamed Mokhtar dan Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.
Sementara itu, dalam ucapannya, Abdul Azim berkata, bahawa Perak FC amat berharap mendapat pulangan atau return on investment (ROI) yang baik melalui pencapaian pasukan utama Perak FC setelah mengambil alih kelab tersebut setahun yang lalu.
Menurutnya, Perak FC komited dalam membantu negeri bagi membangunkan ekosistem bola sepak yang lebih mampan serta mencungkil bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi walaupun pada asasnya ia merupakan bidang kuasa persatuan bola sepak negeri.
“Perak FC berharap dan yakin program ini akan melahirkan ramai pemain bola sepak yang baik seperti apa yang telah dilakukan oleh kelab-kelab besar di dunia.
“Ini seiring dengan aspirasi Perak FC untuk menjadi sebuah kelab unggul dalam melahirkan bakat-bakat muda, sejajar dengan jalinan kerjasama yang telah dimeterai bersama kelab antarabangsa Jerman, Vfl Wolfsburg sebelum ini,” katanya.
Selain majlis pelancaran serta sepak mula, Perak FC turut menyediakan jualan jersi dan cenderahati.
Sambutan yang diterima untuk aktiviti tersebut amat menggalakkan daripada para pelajar SYS dan juga penonton yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut. – UTUSAN