IPOH: Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Ahmad Zabidi menyifatkan pasukan itu kini sudah lengkap dan bermotivasi untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.
Menurutnya, selepas beberapa perubahan yang dilakukan pada kakitangan kejurulatihan, pemain dan pegawai perubatan serta menstruktur semula strategi pada pertengahan musim ini, beliau yakin Perak FC berupaya memperbaiki kedudukan.
Menurutnya, untuk separuh kedua musim ini, Perak FC akan melakukan segala yang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan di pertengahan liga.
“Kami mahu menempa pencapalan sejauh yang boleh dalam saingan Piala Malaysia dan Piala MFL, serta berjaya mencari dan merekrut bakat dari akar umbi untuk menganggotai skuad B-18 musim 2024 melalui kejohanan JPN Perak-Perak FC yang sedang berlangsung,” katanya.
Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, bahawa penyingkiran adalah kebimbangan utama bagi pihak pengurusan walaupun belum ada keputusan rasmi berhubung perkara itu.
“Dalam semangat pertandingan, Perak FC menyokong penuh mekanisme penyingkiran seperti yang dinyatakan.
“Perak FC juga telah melalui dan mengharungi pelbagai cabaran dari awal pembabitan sehingga kini dan harus mengakui bahawa kami belum cukup berpengalaman dalam pengurusan bola sepak,” katanya.
Menurutnya, Ahli Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Eksekutif dan Pengurusan Perak FC yang terdiri daripada golongan profesional serta berpengalaman luas dalam urusan perniagaan sudah semestinya cepat mengadaptasi pengurusan industri bola sepak yang berkembang sejajar dengan era moden.
Katanya, dalam masa yang sama, pihak pengurusan berbangga dengan corak permainan dan keputusan yang dicapai oleh pasukan-pasukan pembangunan khususnya pasukan Perak FC III yang mana para pemainnya terdiri daripada pemain muda yang direkrut dari seluruh daerah di negeri Perak pada tahun lepas dan kini berada pada tangga teratas Liga 1 Piala Presiden musim 2023.
“Kami amat menghargai kesabaran yang ditunjukkan oleh penyokong The Bos Gaurus serta kerjasama dan sokongan yang dihulurkan oleh kerajaan negeri Perak melalui agensi-agensinya seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPNP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) serta Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) yang dari masa ke masa menyatakan sokongan mereka kepada Perak FC.
“XOX dan Perak FC akan terus komited bagi mencipta struktur yang mampan untuk industri bola sepak,” katanya. – UTUSAN