IPOH: Tiga pemain import dan seorang pemain tempatan hampir pasti menyertai Perak FC semasa jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka Rabu ini.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi memecah sikap membisu apabila mendedahkan identiti kedatangan pemain pasukan pemain kebangsaan Filipina, Jesper Nyholm.
Jesper, 29, adalah pemain kelahiran Sweden dan bermain di posisi bek tengah.
Pasukan terakhir diwakili pemain yang mempunyai ketinggian 1.84 meter itu ialah kelab Thailand, Muang Thong FC.
Selain pemain Filipina itu, benteng Perak dipadukan lagi oleh seorang lagi pemain pertahanan Oppa dari Korea.
“Benteng Perak adalah yang paling rapuh ketika ini, semoga kehadiran Jesper serta pemain Korea itu mampu menyelesaikan masalah kelemahan di bahagian pertahanan pasukan ini,” katanya.
Malah Perak FC juga sedang berusaha mendapatkan khidmat seorang lagi pemain import.
Bagaimanapun Abdul Azim tidak mendedahkan identiti pemain itu.
Sementara itu, pemain tempatan yang akan menyertai Perak FC adalah bekas pemain Terengganu FC. – UTUSAN