KEMAMAN : Beberapa penyokong Pas di Bukit Kuang, dekat sini, dipercayai menurunkan sebahagian bendera parti itu pada Isnin lalu selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan pemilihan calon yang bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan.
Sejak kelmarin, tular beberapa video yang memaparkan beberapa individu menurunkan bendera PAS yang sebelum ini dipasang di pembahagi jalan di hadapan Petronas Bukit Kuang.
Menurut sumber, penyokong parti itu dipercayai tidak bersetuju berikutan difahamkan calon Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang bukan merupakan anak tempatan dipilih bagi mencabar penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ahmad Said dalam PRN itu nanti.
“Apa yang berlaku hanya perkara biasa dan penyokong Pas itu hanya menunjukkan protes berikutan calon Bersatu akan diletakkan di DUN Kijal, sedangkan Yang DiPertua Pas Kemaman, Hazri Jusoh yang juga penyelaras DUN Kijal sebelum ini sering turun padang bersama rakyat, sebab itu timbul rasa tidak puas hati.
“Bagaimanapun, semuanya dah diselesaikan dengan cara baik dan kami bersepakat menyokong calon yang akan diumumkan nanti,” kata sumber.
Tinjauan di sekitar Bukit Kuang, semalam, mendapati sebahagian bendera Pas yang sebelum ini berkibar di sepanjang jalan sejauh lebih satu kilometer dari pusingan U berhampiran Petronas Bukit Kuang hingga ke Jambatan Bukit Kuang yang dipasang sebelum ini ditanggalkan.
Bagaimanapun, difahamkan terdapat penyokong parti itu kemudiannya memasang semula bendera Pas berkenaan di kawasan itu malam tadi.
Pada PRU14, dalam pertembungan tiga penjuru, Ahmad yang juga bekas menteri besar mempertahankan kerusinya dengan jumlah undi sebanyak 9,545.
Hazri yang mewakili Pas memperoleh 8,280 undi manakala calon PKR, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok hilang deposit selepas mendapat 1,472 undi. – UTUSAN