Penyandang ADUN beri keterangan tangkap ikan guna peralatan terlarang - Utusan Malaysia

Penyandang ADUN beri keterangan tangkap ikan guna peralatan terlarang

TANGKAP layar daripada video menunjukkan penyandang ADUN menangkap ikan menggunakan peralatan terlarang di sebatang sungai di negeri ini, baru-baru ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Jabatan Perikanan Terengganu memanggil seorang penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk memberi keterangan berkaitan penularan video beliau menangkap ikan menggunakan peralatan terlarang di sebatang sungai di negeri ini, baru-baru ini.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, wakil rakyat tersebut telah datang ke Pejabat Perikanan Negeri Terengganu untuk memberi keterangan semalam.

“Jabatan telah menerima laporan berkaitan video tular itu pada hari Isnin lalu dan kita telah menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut. 

“Penyandang wakil rakyat itu juga telah dipanggil dan kini pihak jabatan sedang melengkapkan siasatan sebelum kita rujuk kepada penasihat undang-undang negeri Terengganu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru tular video berdurasi 24 saat di media sosial memaparkan penyandang ADUN tersebut sedang menangkap ikan di sebatang sungai  di negeri ini menggunakan kaedah renjatan elektrik. 

Mengulas lanjut, Ruzaidi berkata, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 3 Kaedah- Kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu 1988 iaitu penangkapan ikan dengan menggunakan peralatan terlarang. 

“Antara peralatan terlarang termasuk menggunakan racun, bahan letupan dan peralatan-peralatan mekanikal atau elektrik.

“Jika disabitkan kesalahan, pelaku berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya