Penubuhan semula Lembaga Padi Sabah bantu tingkat SSL beras

Penubuhan semula Lembaga Padi Sabah bantu tingkat pengeluaran beras

JEFFREY Kitingan (tujuh kanan) bersama penerima-penerima anugerah sempena HPPNS di Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Penubuhan semula Lembaga Padi Sabah (LPS) akan membantu mempercepatkan lagi usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras kepada 60 peratus menjelang 2030.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Lembaga Padi Sabah itu akan diletakkan di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) negeri dan akan mula beroperasi pada tahun depan.

Beliau berkata, ketika ini, SSL beras Sabah berada pada paras 22 peratus dan selebihnya, 78 peratus lagi ditampung melalui beras import dari negara-negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan.

“Kita berharap dengan pengwujudan semula Lembaga Padi Sabah, ia dapat meningkatkan SSL beras negeri sekali gus dapat mengurangkan beras import,” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Sabah (HPPNS), di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.

Ketika ini, keluasan kawasan sawah di Sabah semakin kurang susulan kebanyakan kawasan digunakan sebagai pembangunan perumahan dan kedai komersial.

Maka, kerajaan telah meneroka kawasan penanaman padi baharu di Trusan Sapi, Beluran seluas kira-kira 2,000 ekar.

“Kawasan itu telah dimajukan secara bersepadu oleh Maffi dan agensi-agensi di bawahnya dengan penglibatan sektor swasta serta penduduk Trusan Sapi sebagai peserta penanaman padi,” katanya.

Menurut Hajiji, golongan peladang, penternak dan nelayan perlu bersedia menerima serta membuat perubahan dalam pertanian termasuk pengurusan ladang secara moden.

“Peladang, penternak dan nelayan harus lebih inovatif dan bersifat terbuka kepada idea dan maklumat-maklumat baharu dan mutakhir serta dapat menyesuaikannya mengikut keadaan dan masa. Kita mesti menjadi seorang peladang, penternak dan nelayan yang serba mengetahui,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani isu SSL bagi sektor pengeluaran makanan di Sabah.

“Saya berbangga dengan usaha gigih Maffi dan agensi-agensi di bawahnya serta agensi-agensi kerajaan Persekutuan yang telah menggembleng tenaga bersatu padu menjayakan matlamat meningkatkan SSL pengeluaran semua jenis bahan makanan di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan sentiasa berusaha memastikan bekalan makanan mencukupi di samping, menghasilkan lebih banyak produk pertanian bernilai tinggi untuk tujuan komersial yang berupaya merangsang pertumbuhan sektor pertanian. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya